Thursday, November 24, 2011

Oman bantu guru kuasai bahasa Arab




CAPTION: 

1. HISHAMMUDDIN Tun Hussein mengadakan kunjungan hormat ke atas 
Timbalan Perdana Menteri Oman, Syeed Fahad Mahmood Al-Said dalam 
lawatan rasmi beliau ke Oman, Khamis lalu. 

PUTRAJAYA 1 Jun - Malaysia dan Oman akan meningkatkan kerjasama 
dalam bidang pendidikan antaranya bagi mendapatkan bantuan negara teluk 
itu memantapkan penguasaan bahasa Arab dalam kalangan guru di 
negara ini. 

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, ia akan 
membabitkan guru-guru yang terlibat dalam program pengajaran mata 
pelajaran Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain (J-QAF). 

Beliau berkata, kementerian pula akan menawarkan pakej latihan 
kepimpinan dan pengurusan sekolah kepada pengetua dan pegawai 
pelajaran yang terpilih dari Oman bagi mengikuti sesi latihan komprehensif di 
Institut Aminuddin Baki, Genting Highlands.

Katanya, perjanjian persefahaman (MoU) yang dimeterai menggariskan 
bidang-bidang pendidikan yang boleh diwujudkan bersama bagi menjamin 
hubungan baik di antara Malaysia dan Oman.

''Sememangnya hubungan dua hala dalam bidang pendidikan di antara 
Malaysia dan Oman telah sedia terjalin. 

''Bagaimanapun, hubungan tersebut perlu diperkukuhkan secara formal 
melalui MoU ini agar aktiviti dan program yang bakal dilaksanakan di antara 
kedua-dua negara akan lebih terarah dan sistematik," katanya dalam 
kenyataan akhbar di sini hari ini. 

MoU berkenaan ditandatangani oleh Hishammuddin di Muscat semalam, 
manakala Oman diwakili oleh Menteri Pelajarannya, Yahya Saud Al-Sulaimi. 

Hishammuddin melakukan lawatan kerja ke negara Teluk itu mulai Jumaat 
lalu hingga esok sebagai susulan kepada lawatan rasmi Yahya Saud ke 
Malaysia pada Jun tahun lalu. 

Menurut beliau, pihaknya percaya lawatan kerja tersebut mampu memberi 
peluang kepada ahli delegasi bagi mendalami sistem pendidikan Oman yang 
sedang melalui proses reformasi pendidikan membabitkan penggunaan 
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). 

''Oman juga sedang mempergiatkan usaha pengantarabangsaan pendidikan 
dengan menjalankan pelbagai kajian dan lawatan penanda aras dengan 
penumpuan kepada kajian perbandingan pendidikan. 

''Malaysia juga sedang meningkatkan usaha serupa dan dalam hal ini, 
kedua-dua negara akan turut berkongsi maklumat dan pengalaman yang 
diharapkan akan memberi manfaat kepada kedua-dua buah negara," kata 
beliau. 

Selain itu, Hishammuddin berkata, kedua-dua negara akan meningkatkan 
kerjasama bagi memasarkan kepakaran dan produk-produk pendidikan 
negara masing-masing. 

Dalam hal ini, beliau berkata, Oman berminat mendapatkan khidmat pakar 
dari Malaysia dalam bidang perancangan dan penyelidikan dasar 
pendidikan; teknologi pendidikan; kepimpinan dan pengurusan sekolah; 
latihan dan pendidikan guru serta perancangan dan perkembangan 
kurikulum. 

Katanya, Oman menunjukkan minat yang mendalam untuk menuruti langkah 
Malaysia dalam melaksanakan dasar pengajaran dan pembelajaran Sains 
dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

Menurutnya, kedua-dua belah pihak bersetuju bahawa faktor guru dan 
kepimpinan sekolah memainkan peranan yang besar dalam melaksanakan 
dasar tersebut.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment