Thursday, November 24, 2011

Mengapa belajar bahasa Arab?




KENALI BAHASA AL-QURAN

SIRI 53

HARI ini, kalau kita membeli kereta baru, komputer, televisyen, mesin basuh, 
peti ais dan lain-lain yang baru pasti kita akan dibekalkan sebuah buku 
panduan. Dalam buku panduan, dinyatakan berbagai nama komponen 
tertentu, fungsi dan cara menggunakan alatan tersebut dengan betul. 
Biasanya buku panduan ditulis menggunakan bahasa utama pengeluar 
alatan itu. Ini diikuti dengan terjemahan dalam bahasa-bahasa lain.

Persoalannya, bagaimana kita dapat menggunakan dan memperbaiki alatan 
tersebut jika kita tidak dapat memahami bahasa yang digunakan. 
Umpamanya, buku panduan tentang penggunaan enjin kereta dalam bahasa 
Jepun yang menggunakan 100 peratus tulisan Jepun? Sudah tentu 
seseorang yang tidak memahami bahasa Jepun tidak akan dapat membaiki 
enjin dengan betul. Yang mungkin difahami cuma bahagian yang melibatkan 
gambar sahaja.

Jadi, marilah kita renungkan bersama secara mendalam pula senario yang 
lebih besar daripada itu. Allah s.w.t. menjadikan muka bumi ini sebagai 
kegunaan khalifah-Nya iaitu makhluk bergelar manusia. Persoalannya, 
adakah Allah bekalkan buku panduan bagaimana menggunakan bumi dan 
prasarana alam yang terbentang luas ini? 

Jawapannya sudah tentu 'ya'. Panduan itu tidak lain dan tidak bukan ialah 
al-Quran. Di dalamnya terdapat pelbagai panduan dalam semua bidang 
kehidupan sama ada akidah, ekonomi, pengurusan, kemasyarakatan, 
keilmuan, kebudayaan, kemajuan dan sebagainya.

Pokok perbincangan ialah bagaimana kita dapat mengadaptasi apa yang 
terkandung dalam al-Quran jika kita tidak dapat memahami bahasa yang 
digunakan. Oleh kerana al-Quran diturunkan dalam bahasa Arab, sama ada 
mahu atau tidak, kita perlu belajar bahasa Arab. 

Sehubungan itu, sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya berusaha dengan 
segala kekuatan yang ada di samping prasarana yang semakin hari semakin 
canggih untuk sama-sama menguasai bahasa antarabangsa yang 
penting ini.

Marilah kita fikirkan ungkapan ringkas ini, "kalau kita menguasai bahasa 
Melayu kita boleh mendapat segulung ijazah. Kalau kita menguasai bahasa 
Inggeris kita boleh bersaing dengan negara maju. Kalau kita menguasai 
bahasa Arab (mampu menterjemahkan dan mengadaptasi ilmu-ilmu al-
Quran dalam kehidupan) kita boleh mengatasi negara maju."

Ungkapan ringkas ini bukan bermaksud untuk memperkecil-kecilkan bahasa 
ibunda kita iaitu bahasa Melayu. Bahasa Melayu tetap bahasa rasmi negara 
kita. Ungkapan ini sebenarnya satu motivasi yang dijangka dapat menyuntik 
semangat kepada kita untuk menguasai sekurang-kurang tiga bahasa 
tersebut sebagai asas permulaan.

Kalau kita menguasai Bahasa Melayu kita mungkin mampu mendapat 
segulung ijazah yang kita inginkan. Ini kerana kursus-kursus peringkat ijazah 
sarjana muda yang ditawarkan di beberapa universiti di negara ini 
menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Justeru itu, kalau 
kita tidak dapat menguasai bahasa lain seperti bahasa Inggeris, maka kita 
masih mampu mendapatkan segulung ijazah tersebut.

Walau bagaimanapun, berbekalkan segulung ijazah tersebut belum 
memadai untuk kita memperoleh kerjaya yang diingini. Ini kerana kita perlu 
bersaing dengan ribuan siswazah lain yang turut memiliki segulung ijazah 
yang setaraf dengan kita. Oleh itu kemahiran menguasai bahasa Inggeris 
amat diperlukan.

Sehubungan itu dalam arus globalisasi ini, kalau kita menguasai bahasa 
Inggeris kita boleh bersaing dengan negara maju. Tahukah kita apakah yang 
dimaksudkan dengan boleh bersaing? Itupun berapa orang di kalangan 
rakyat Malaysia yang betul-betul boleh menguasai bahasa Inggeris? Kalau 
pun boleh, kita masih lagi hanya bersaing! 

Bersaing maknanya masih seiring. Kalau lumba lari acara pecut 100 meter, 
kita hanya boleh bersaing dan tidak ketinggalan jauh ke belakang 
berbanding pelumba pertama. Namun kita masih lagi belum boleh menjadi 
pelumba yang pertama.

Persoalannya, bagaimana kalau kita mampu menguasai bahasa Arab? 
Adakah kita boleh mengatasi negara maju? Jawapannya sudah tentu 'ya' 
tetapi dengan satu syarat. Syaratnya, kita menguasai bahasa Arab supaya 
mampu menterjemahkan dan mengadaptasi ilmu-ilmu al-Quran dan dapat 
mempraktikkannya dalam kehidupan kita.

Maksudnya di sini, kita boleh membawa al-Quran ke kilang-kilang bukan 
sekadar membawa mashafnya untuk dibaca tetapi lebih daripada itu. Kita 
sepatutnya menjadikan al-Quran sebagai rujukan utama untuk meningkatkan 
produktiviti kilang. Bagaimana caranya? Sudah tentulah memerlukan 
penyelidikan yang berterusan.

Untuk menafsir al-Quran dalam bidang yang diceburi sangat memerlukan 
penguasaan pelbagai ilmu pengetahuan. Salah satu ilmu yang merupakan 
kuncinya miftahul ilmi ialah ilmu bahasa Arab. 

Jadi, menguasai bahasa Arab dengan baik adalah salah satu syarat yang 
diperlukan untuk kita menterjemah al-Quran dalam bidang yang kita ceburi. 
Tanpa penguasaan yang baik sudah pasti hasil yang diperoleh juga kurang 
memberangsangkan. Untuk menguasainya sudah tentu memerlukan 
perancangan dan persiapan rapi.

Oleh itu mahu atau tidak, kita terpaksa belajar menguasai bahasa Arab. 
Seterusnya, belajar bagaimana menguasai bahasa tersebut dan 
menggunakan kepakaran itu untuk meneroka ilmu Allah yang Maha Luas ini.

Akhirnya, renungkanlah dan sahutlah cabaran kata-kata ini. "Hari ini 
kebanyakan orang Islam masih lagi belajar membaca ketika orang Barat 
sudah jauh ke hadapan iaitu membaca untuk belajar."

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment