Thursday, November 24, 2011

Kuasai bahasa Arab jika mahu ke Universiti




KAHERAH 5 Jun - Hanya lima daripada 169 orang pelajar dari Negeri 
Sembilan yang mengikuti pelbagai kursus di Universiti Al-Azhar dan dan 
Universiti Kaherah di sini dikenal pasti mampu meneruskan pengajian tanpa 
mengulang sehingga tamat pengajian.

Pegawai Khas Kebajikan Pelajar Negeri Sembilan, Abdul Malik Kahar 
berkata, selebihnya, para pelajar berkenaan, terutama yang baru masuk 
dalam tahun satu terpaksa mengulangi pelajaran mereka kerana gagal 
menguasai bahasa Arab dengan baik.

"Jangan pandang remeh soal ini. Sebab itulah, saya nasihatkan kepada 
mana-mana pelajar yang mahu melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar 
dipastikan menguasai sepenuhnya bahasa Arab, sekurang-kurangnya enam 
bulan sebelum ke sini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan 
hormat rombongan Kerajaan Negeri Sembilan di Rumah Negeri Sembilan di 
sini, hari ini.

Abdul Malik bagaimanapun menjelaskan, selain faktor dan pengaruh bahasa 
Arab, sistem pembelajaran yang agak luar biasa juga menjadi punca 
kegagalan pelajar-pelajar berkenaan yang antaranya tidak dapat dielakkan.

"Pensyarah mereka juga menggunakan Bahasa Arab rasmi (Fushah) dan 
juga Bahasa Arab pasar (Ammi) dan kepada mereka yang tidak biasa ia satu 
kesukaran.

"Contoh lain pula ialah ada yang dijadualkan mengambil peperiksaan pada 
waktu petang tetapi diubah pada saat-saat akhir. Ini menyebabkan ada yang 
gagal mengambil peperiksaan seterusnya gagal dalam kertas berkenaan.

"Ada juga yang terpaksa mengambil peperiksaan di bawah khemah. Kalau 
hujan, atau panas terik, apa nak buat. Semua ini juga mempengaruhi 
keputusan pelajaran anak- anak kita di Universiti Al-Azhar ini,'' katanya.

Abdul Malik memberitahu, pelajar yang mahu mengikuti pengajian di mana-
mana universiti di sini perlu juga melengkapkan diri dengan kedua-dua dialek 
Bahasa Arab jika tidak mahu menghadapi kesukaran kelak.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan negeri melalui MAINS yang 
menjadi penaja kepada pelajar terbabit mengikuti kursus intensif selama 
enam bulan sebelum dihantar ke sini.

Kata Abdul Malik, kursus itu perlu dikendalikan oleh pensyarah yang 
memahami selok belok bahasa dan berasal dari negara Mesir bagi 
memberikan kefahaman yang lebih kepada bakal mahasiswa.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment