Thursday, November 24, 2011

KLIA TURUT GUNA BAHASA ARAB UNTUK KEMUDAHAN PELANCONG ASIA BARAT


 
KUALA LUMPUR, 29 Julai (Bernama) -- Malaysia Airports Berhad (MAB) kini
turut menggunakan bahasa Arab dalam semua hebahan di Lapangan Terbang
Antarabangsa KL (KLIA) untuk kemudahan pelancong dari Asia Barat yang
semakin ramai berkunjung ke negara ini.
    Sepanduk dalam bahasa Arab juga dipasang di tempat-tempat strategik di
lapangan terbang itu bagi menyambut kedatangan pelancong dari rantau itu,
kata Pegawai Perhubungan Awam MAB, Joshua Jalin hari ini.
    Beliau memberitahu Bernama bahawa langkah yang diambil sejak 12 Julai
lepas itu akan berterusan selama tiga bulan berikutan peningkatan jumlah
pelancong dari Asia Barat sempena cuti sekolah di negara mereka.
    "Kami mendapat maklumat balas yang baik daripada pelancong bahawa
khidmat ini begitu berguna untuk mereka," katanya.
    Selain mengenai jadual penerbangan, maklumat mengenai kemudahan yang
terdapat di lapangan terbang itu serta cara untuk ke Kuala Lumpur, termasuk
dengan menaiki Express Rail Link (ERL), dihebahkan melalui alat siaraya.
    "Kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelancongan dalam menjayakan
usaha ini kerana menyedari jumlah pelancong dari Asia Barat meningkat dalam
tempoh berkenaan," kata Jalin.
    Beliau berkata, MAB juga akan bekerjasama dengan kementerian itu untuk
melaksanakan langkah yang sama bagi memenuhi keperluan pelancong dari
negara lain pada masa akan datang.
    -- BERNAMA
    AZZ AZZ SP MAI

No comments:

Post a Comment