Thursday, November 24, 2011

Bahasa Arab pesat selepas merdeka




PENGAJARAN bahasa Arab di Malaysia, seperti pengajaran bahasa lain
     mengalami perubahan dari semasa ke semasa mengikut peredaran dan
     perubahan zaman. Namun, perubahan paling ketara dapat dilihat dengan
     jelas apabila kita membandingkan antara pengajarannya sebelum dan selepas
     kemerdekaan. 
       Revolusi pengajaran bahasa Arab yang berlaku selepas kemerdekaan
     menjadi titik tolak kepada kecemerlangannya pada hari ini. Ia mungkin
     berlaku kerana bahasa Arab yang mempunyai kaitan rapat dengan agama Islam
     tidak mendapat tempat istimewa ketika dijajah bangsa bukan Islam.
       Sedangkan, selepas mencapai kemerdekaan, tampuk pemerintahan negara
     dipegang bangsa Melayu sendiri yang rata-ratanya beragama Islam. Secara
     tidak langsung, rasa tanggungjawab terhadap agama memungkinkan pengajaran
     bahasa Arab berkembang dengan lebih pesat di bumi Malaysia. 
       Walaupun begitu, bahasa Arab dalam konteks Malaysia pada asasnya
     bukanlah bahasa pertuturan utama rakyatnya. Hal ini kerana, bangsa Arab
     bukan penduduk asal negara kita. Keadaan ini sama dengan bahasa Inggeris
     iaitu penutur jati bahasa itu bukanlah penduduk asal Malaysia. 
       Namun, kita semua sedia maklum mengapa bahasa Inggeris begitu mendapat
     tempat dalam masyarakat kita pada hari ini sehingga diiktiraf sebagai
     bahasa kedua selepas bahasa Melayu. 
       Kemerdekaan yang kita kecapi 50 tahun lalu membawa perubahan besar
     dalam sistem pengajaran subjek pendidikan Islam termasuk bahasa Arab.
     Kesan kemerdekaan itu, kita bebas menentukan sistem pendidikan mengikut
     acuan kita sendiri. 
       Bukti paling mudah dijelaskan ialah bagaimana dapat dilihat sistem
     pengajian pondok yang berlangsung begitu lama ketika penjajahan hanya
     mengalami sedikit perubahan serta lambat pula. Sebaliknya perubahan ke
     arah kebaikan lebih pesat berlaku selepas negara mencapai kemerdekaan
     terutama dari segi sistem dan kemudahan. 
       Sebelum kemerdekaan, walaupun masyarakat Melayu diberi kebebasan
     penjajah iaitu British untuk mempelajari agama Islam dan bahasa Arab,
     tetapi bekas pelajar aliran ini tidak pernah diberi tempat dan peluang
     untuk mendapat pekerjaan yang baik khususnya dalam bidang pentadbiran
     atau politik. 
       Mereka sekadar boleh menjadi imam atau ustaz yang biasanya berkhidmat
     secara ikhlas tanpa mendapat sebarang bayaran tetap. Ini berbeza dengan
     aliran Inggeris yang sentiasa mempunyai masa depan lebih cerah dari segi
     peluang pekerjaan. 
       Selepas mencapai kemerdekaan dan tampuk kepemimpinan negara sebahagian
     besarnya dikuasai pemimpin negara beragama Islam, banyak perkembangan
     positif berlaku khususnya bagi merapatkan jurang antara keluaran aliran
     Inggeris dan agama. 
       Begitu pun, perubahan ini tidak berlaku serta-merta sebaik saja negara
     mencapai kemerdekaan, sebaliknya ia berlaku beransur-ansur, tetapi
     konsisten. Buktinya kita dapat lihat bagaimana pelbagai program dan
     pendekatan dilaksanakan bagi merealisasikan hasrat itu seperti memberi
     pembiayaan penuh kepada sekolah agama, biasiswa, pengintegrasian antara
     aliran agama dan sains, pemantapan silibus, penambahan beberapa jawatan
     dalam jabatan kerajaan untuk lepasan aliran Arab dan sebagainya. 
       Contoh paling jelas dalam hal ini ialah pelaksanaan program J-Qaf
     diumumkan Perdana Menteri pada 2003 dan mula dilaksanakan pada 2004. 
       Dari segi sistem pengajaran adalah jelas pengajaran bahasa Arab
     sentiasa seiring dengan pengajian Islam terutama sebelum kemerdekaan.
     Kita semua begitu yakin bahawa faktor utama menyebabkan masyarakat Melayu
     pada masa dulu mempelajari bahasa Arab kerana ia bahasa al-Quran dan
     Hadis dan juga bahasa sumber rujukan ajaran Islam. 
       Sesetengah ahli sejarah menyatakan masyarakat Melayu sudah menggunakan
     bahasa Arab dalam urusan perdagangan sebelum kedatangan Islam lagi. 
       Pengajaran bahasa Arab sejak kedatangan Islam lagi memang tidak dapat
     dipisahkan daripada pengajaran ilmu agama. Pengajaran ilmu ini dari dulu
     lagi hanya berlangsung di rumah ulama atau maulana, surau dan madrasah. 
       Apabila Sultan sendiri memeluk agama Islam, maka pengajarannya pula
     banyak berlangsung di Istana serta mendapat kemudahan secukupnya dari
     pihak istana. Guru dan alim ulama dijemput ke Istana untuk mengajar
     subjek tertentu kepada pihak Sultan dan pihak Istana. Sementara itu,
     pengajaran di surau terus berlangsung dengan aktif. Namun pada ketika
     itu, pengajaran bahasa Arab ini tidak begitu sistematik seperti pada hari
     ini. 
       Bermula dengan pengajarannya begitu aktif berlangsung di surau,
     madrasah, Istana dan rumah ulama, ia terus berkembang sehingga
     tertubuhnya sekolah pondok. Bermula daripada pengajarannya yang tidak
     sistematik, pengajarannya di sekolah pondok semakin teratur. 
       Jika pada awal kedatangan Islam ke Tanah Melayu tidak ada silibus
     khusus bagi subjek yang diajar, sistem sekolah pondok dimajukan dari
     aspek ini.
       Ketika negara menghampiri kemerdekaan, institusi sekolah pondok berada
     di kemuncaknya apabila sistem pengajian bahasa Arab dan agama Islam
     semakin mantap dan sistematik. Dari segi silibus, biasanya diambil terus
     dari beberapa universiti tersohor di Asia Barat terutama Universiti
     al-Azhar, Mesir. 
       Bagaimanapun, sistem pengajian pada ketika ini lazimnya milik
     persendirian yang terdiri daripada orang alim atau ulama setempat. Mereka
     biasanya mengasaskan sekolah ini secara sukarela dan ikhlas untuk
     menyebarkan ilmu. 
       Oleh itu, tidak wujud keseragaman antara satu sekolah pondok dengan
     sekolah pondok yang lain dari pelbagai aspek seperti silibus, sistem
     pengajian, kemudahan dan pasaran pekerjaan. Silibus yang dihasilkan
     sekolah pondok itu hanya untuk kegunaan sekolah itu saja yang umumnya
     bertujuan melayakkan pelajarnya menyambung pengajian di universiti di
     Asia Barat ke peringkat lebih tinggi. 
       Penubuhan Kolej Islam Malaya pada 1955 iaitu dua tahun sebelum
     kemerdekaan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pengajian Islam dan
     bahasa Arab pada peringkat tinggi selepas kemerdekaan. 
       Selepas kemerdekaan terutama pada tahun 70-an satu revolusi besar
     berlaku dalam sistem pengajian Islam dan bahasa Arab apabila Kerajaan
     Pusat dan negeri mula memberi perhatian khusus kepada institusi ini. 
       Buat pertama kalinya, Kementerian Pelajaran memperkenalkan subjek
     bahasa Arab secara rasmi pada 1977 dengan Sekolah Menengah Kebangsaan
     Agama (SMKA) dan Kolej Islam Sultan Alam Shah sebagai induknya. 
       Dari tahun ke tahun, bilangan SMKA ini semakin bertambah sama ada
     melalui pembinaan baru beberapa buah sekolah atau pengambilalihan
     daripada Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama
     Rakyat (SMAR). 
       Selepas sekolah ini diletakkan bawah Kementerian Pelajaran, perubahan
     jelas juga dapat dilihat dari segi matlamat pengajaran, paradigma dan
     tanggapan terhadap pengajarannya. Pengajaran bahasa Arab pada masa dulu
     tidak mempunyai matlamat jelas dari segi prospek kerjaya. 
       Ini berdasarkan bahawa tidak pernah ada rekod menyatakan mengenai
     tujuan pengajaran bahasa itu kepada murid. Begitu pun, diyakini bahawa
     pengajaran bahasa Arab ketika itu bertujuan membolehkan pelajar membaca
     dan memahami al-Quran, Hadis dan kitab Arab. 
       Sebaliknya, selepas kemerdekaan, selain untuk memahami sumber ilmu
     Islam, matlamat yang lebih jelas digaris dan ia mestilah selari dengan
     falsafah pendidikan negara dan falsafah pendidikan Islam. 
       Pengajaran bahasa Arab berkembang lagi selepas kemerdekaan pada
     peringkat pengajian tinggi. Beberapa universiti terawal seperti
     Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Malaya (UM)
     menawarkan bidang pengajian Islam dan bahasa Arab. 
       Sebenarnya pengajaran bahasa Arab pada peringkat tinggi sudah bermula
     beberapa tahun sebelum kemerdekaan lagi apabila Kolej Islam Malaya
     ditubuhkan pada 1955, tetapi ia bukan pada peringkat universiti. 
       Oleh itu, penubuhan kolej ini menjadi pemangkin utama dan batu asas
     kepada kecemerlangan pengajaran bahasa Arab pada peringkat pengajian
     tinggi selepas merdeka. 
       Keseluruhannya, kemerdekaan memberi kita peluang untuk mencorak
     kehidupan kita sendiri dari pelbagai sudut termasuk bidang pendidikan
     Islam. 
       Jika sebelum kemerdekaan kebebasan itu amat terhad, nikmat yang
     dikecapi selepas kemerdekaan seharusnya disyukuri dan dihargai dengan
     pengisian agenda yang mampu memberi sumbangan kepada perkembangan agama,
     kemajuan bangsa dan ketamadunan negara. 
       Penulis adalah pensyarah Fakulti Pengajian Bahasa Utama, USIM
       INTI PATI
       * Kemerdekaan membawa perubahan besar dalam sistem pengajaran subjek
     pendidikan Islam, bahasa Arab.
       * Sebelum kemerdekaan, walaupun masyarakat Melayu mempelajari bahasa
     Arab, tetapi bekas pelajar aliran ini tidak pernah diberi tempat dan
     peluang pekerjaan yang baik.
       * Faktor utama masyarakat Melayu pada masa dulu mempelajari bahasa Arab
     kerana ia bahasa al-Quran dan Hadis.
       * Perubahan pengajaran bahasa Arab tidak berlaku serta-merta sebaik
     saja negara mencapai kemerdekaan, sebaliknya ia berlaku beransur-ansur,
     tetapi konsisten.
       * Penubuhan Kolej Islam Malaya pada 1955 iaitu dua tahun sebelum
     kemerdekaan menjadi pemangkin kepada kecemerlangan pengajian Islam dan
     bahasa Arab pada peringkat tinggi selepas kemerdekaan.
                                   (END)  Source : Berita Harian

No comments:

Post a Comment