Thursday, November 24, 2011

Bahasa Arab jadi subjek wajib untuk pelajar Islam




BANDAR SERI BEGAWAN: Kerajaan mahu mata pelajaran bahasa Arab dijadikan
mata pelajaran wajib untuk pelajar Islam di sekolah bagi memastikan
mereka tahu membaca dan menulis Jawi serta berupaya khatam al-Quran.
  Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, keputusan
sama ada masa pembelajarannya diadakan waktu pagi atau petang akan
ditentukan kemudian.
  Katanya, waktu pembelajaran mata pelajaran agama dan Pendidikan Moral
atau Sivik yang sekarang diadakan pada masa sama akan diasingkan untuk
membolehkan pelajar Melayu turut mengikuti kelas mata pelajaran itu.
  "Sivik juga perlu diikuti pelajar Melayu kerana ia adalah untuk semua.
Oleh itu kita akan buat perubahan," katanya pada sesi dialog dengan
rakyat Malaysia di Brunei pada Majlis Beramah Mesra dan Makan Tengah Hari
bersama Perdana Menteri yang dihadiri lebih 500 rakyat Malaysia, di Pusat
Konvensyen Antarabangsa (ICC) di sini semalam.
  Beliau berkata, kerajaan mahu mempertingkatkan pencapaian dan
pembelajaran agama di sekolah kebangsaan kerana sebelum ini orang
mempertikaikannya dengan mengatakan pendidikan agama di sekolah
kebangsaan tidak mencukupi bagi membolehkan murid membaca dan khatam
al-Quran.
  "Dasar sekarang ialah pelajaran agama yang lebih bermutu dan dan
caranya sudah diputuskan. Pelajaran agama di sekolah kebangsaan mesti
melahirkan pelajar yang tahu menulis dan membaca Jawi. Kita nak wajib
pelajar Islam ambil bahasa Arab," katanya.
  Mengenai supaya satu permit import (AP) kereta diberi kepada rakyat
Malaysia yang bertugas di luar negara melebihi 15 tahun, Abdullah
berkata, beliau akan mengkaji cadangan itu.
  Perdana Menteri juga berkata, kerajaan melalui Jabatan Kebajikan
Masyarakat sentiasa membantu rakyat yang daif dan miskin tetapi tidak
menghalang orang perseorangan untuk membantu.
                              (END)

No comments:

Post a Comment