Thursday, November 24, 2011

Bahasa Arab di kepulauan Melayu




KENALI BAHASA AL-QURAN

SIRI 2

DR. ABD RAZAK ABU CIK

e-mel: arbacmys@netscape.net

TARIKH kedatangan bahasa Arab ke kepulauan Melayu secara umum dan 
ke Malaysia secara khusus masih belum dapat dipastikan dengan tepat. 
Walau bagaimanapun, oleh kerana bahasa Arab adalah bahasa al-Quran 
dan al-Hadis yang menjadi sumber perundangan Islam, tarikh 
kedatangannya tidaklah sukar ditentukan jika ia dihubungkaitkan dengan 
tarikh kedatangan Islam.

Kedatangan Islam bermakna kedatangan bahasa Arab kerana kedua-duanya 
tidak dapat dipisahkan. Bahkan kedua-duanya saling melengkapi antara satu 
sama lain. Islam tidak akan dapat disebarkan tanpa bahasa Arab 
sebagai perantaraan. Tanpa Islam sebagai isi kandungan, bahasa Arab 
berkemungkinan besar tidak membawa apa-apa erti dan tidak akan 
berkembang seperti sekarang.

Sebenarnya berbagai teori kedatangan Islam ke alam Melayu telah 
dikemukakan dan dibincangkan secara panjang lebar oleh sarjana tempatan 
dan sarjana Barat. Perbezaan antara teori tersebut adalah berkaitan dengan 
tarikh, daerah dan faktor kedatangannya.

Secara umumnya terdapat tiga teori utama tentang bagaimana cara 
kedatangan Islam dan tarikhnya iaitu sama ada melalui pedagang dan 
mubaligh Arab atau pedagang India atau pedagang Cina.

Fatimi S.Q. berpendapat kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah secara 
berperingkat-peringkat. Hubungan paling awal ini dianggarkan bermula pada 
tahun 671 Masihi iaitu pada abad ke-7 Masehi.

Hamka pula menyatakan bahawa ahli sejarah Sir Thomas Arnold 
mengandaikan kedatangan Islam ke Tanah Melayu adalah pada abad 
pertama Hijrah berdasarkan wujud hubungan perdagangan antara saudagar-
saudagar Arab dengan Kanton dan Ceylon.

Sacad Syukri pada tahun 1971 berpendapat bahawa Islam telah bertapak di 
kepulauan Melayu sebelum tahun 1188 yang bersamaan tahun 577 Hijrah. 
Ini berikutan penemuan wang siling dalam bentuk tulisan al-Mutawakkil dan 
al-Julus Kelantan pada tahun tersebut yang menunjukkan bahawa 
pemerintahan Islam telah wujud di bawah kepimpinan al-Mutawakkil.

Menurut Wan Husain Azmi, orang Arab telah mengenali Tanah Melayu sejak 
zaman kerajaan Bani Umayyah (dari tahun 661 sehingga tahun 679, iaitu 
pada zaman pemerintahan Muawiyyah Abi Sufyan). Kerajaan Bani Umayyah 
dikatakan telah merancang untuk menghantar armadanya ke Tanah Melayu 
pada tahun 674.

Namun rancangan tersebut terpaksa dibatalkan apabila mengetahui Tanah 
Melayu diperintah oleh raja yang adil. Walau bagaimanapun rombongan 
perdagangan Arab telah datang ke Tanah Melayu dan membuat hubungan 
dengan orang Melayu pada kurun ke-7 iaitu pada 674 kerana sudah 
terjalinnya hubungan perniagaan orang Arab dengan orang China dan orang 
India. Sehubungan itu terdapat kemungkinan bahawa perkataan 'Melaka' 
adalah berasal daripada perkataan Arab iaitu 'Mulq?' atau 'Multaq?' yang 
bermakna tempat pertemuan.

Ada ahli sejarah lain pula menyatakan pendapat yang paling berasas iaitu 
melalui pedagang Arab secara langsung semenjak kurun pertama hijrah lagi 
iaitu sekitar abad ke-7 dan ke-8. Pandangan beliau disokong oleh sarjana 
tempatan yang telah menetapkan tarikh kedatangannya pada sekitar abad 
ke-7, 8 dan ke-9.

Namun kebanyakan sarjana Barat lebih cenderung melewatkan tarikh 
kedatangan tersebut, iaitu pada abad ke-13 berdasarkan catatan Dinasti 
Yuan di China dan laporan pengembaraan Marco Polo. Antara sarjana Barat 
tersebut ialah D.G. Hall yang mengandaikan kedatangan tersebut adalah 
pada abad ke-15.

Dalam konteks Tanah Melayu, seperti halnya dengan peringkat lain alam 
Melayu, sarjana tempatan dan sarjana Barat telah memberikan tarikh yang 
jauh berbeza.

Menurut Syed Muhammad Naguib al-Attas, tarikh yang tercatat pada batu 
bersurat di Kuala Berang, Terengganu, iaitu 4 Rejab 702 Hijrah yang 
bersamaan dengan 22 Februari 1303 menjadi bukti kedatangan Islam ke 
Tanah Melayu adalah pada abad ke-14 atau lebih awal daripada itu. 

Seterusnya Abdul Rahman Abdullah pada 1990 berpendapat Islam sampai 
ke Tanah Melayu pada tahun 30 Hijrah iaitu pada zaman Khalifah Uthman 
Affan (644-656 Masihi). 

Berdasarkan perbincangan di atas, perbezaan pendapat hanyalah berkisar 
tentang tarikh, daerah dan faktor kedatangan Islam. Suatu hal yang pasti 
ialah kedatangan Islam ke kepulauan Melayu bermakna kedatangan bahasa 
Arab ke kepulauan Melayu dan penerimaan Islam oleh orang Melayu 
bermakna penerimaan istilah-istilah bahasa Arab telah diterima pakai oleh 
orang Melayu.

Masyarakat Melayu ketika itu secara umumnya mudah menerima istilah-
istilah Arab dalam kehidupan seharian mereka. Sehubungan itu kita berasa 
yakin untuk menggunakan faktor ini sebagai asas kukuh dalam pembelajaran 
bahasa Arab di Malaysia.

Secara teorinya, jika perbendaharaan kata dan istilah Arab mudah diterima, 
diguna pakai dan dijadikan sebagai sebahagian daripada bahasa Melayu 
sejak berzaman maka sudah tentu masyarakat Melayu sekarang ini mudah 
untuk mengikuti pengajaran dan pembelajaran bahasa Arab.

Esok: Latihan praktikal bahasa Arab.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment