Thursday, November 24, 2011

30 imam China belajar bahasa Arab




ALOR GAJAH 17 Sept.   Kolej Teknologi Islam Antarabangsa Melaka 
(KTIAM) hari ini menerima kedatangan kira-kira 30 orang imam dari China 
bagi mengikuti kursus pengajian bahasa Arab di kolej itu.

Lawatan itu anjuran bersama Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), 
KTIAM dan Biro Pendidikan Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam.

Wakil MACMA, Danial Hakim berkata, lawatan julung kali itu melibatkan 30 
imam muda berusia lingkungan 20-an dan mereka akan berada di kolej 
tersebut selama 25 hari.

 Kedatangan mereka ialah untuk mendalami bahasa Arab bagi memudahkan 
mereka melaksanakan aktiviti harian sebagai imam apabila pulang ke China.

 Selain bahasa Arab, imam muda ini akan diajar menguasai subjek lain 
seperti Politik Islam, Ekonomi Islam dan Kesusasteraan Arab,  katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia pada majlis meraikan 
kedatangan 30 imam dari China di sini hari ini.

MACMA berfungsi sebagai badan pelaksana kursus berkenaan dan selain 
KTIAM, pusat pengajian tinggi lain yang turut terlibat menganjur kursus yang 
sama ialah Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Darul Iman dan 
Universiti Sains Islam Malaysia.

Antara objektif utama kursus itu ialah melahirkan imam muda dari negara 
China agar mahir menguasai bahasa Arab dan melibatkan diri dalam aktiviti 
dakwah kepada masyarakat setempat di negara tersebut.

Menurut Danial, KTIAM mempunyai pensyarah bahasa Arab yang 
berpengalaman dan pihaknya yakin kolej itu mampu merealisasikan hasrat 
tersebut.

Usaha itu, katanya, secara tidak langsung menjadikan KTIAM sebagai pusat 
pembelajaran imam muda memandangkan lawatan 30 imam terbabit 
merupakan kumpulan peserta luar negara pertama berminat mempelajari 
bahasa Arab di kolej tersebut.

Menurut Danial, sebagai pengisian mengikuti kursus selama 25 hari, 
pihaknya mengatur pelbagai aktiviti pada setiap hujung minggu dengan 
lawatan ke tempat bersejarah yang terdapat di seluruh negeri.

 Mereka akan dibawa melawat masjid-masjid sekitar bandar Melaka dan 
menunaikan solat tarawih bersama-sama masyarakat setempat.

 Selain bertadarus sebagai aktiviti harian, mereka akan melawat Balai Cerap 
Al- Khawarizmi, lawatan ke Masjid Kampung Hulu, Masjid Selat dan Masjid 
Al- Azim,  katanya.

Selain itu, mereka turut berpeluang berbuka puasa bersama Ketua Menteri, 
Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang dijadualkan pada 3 Oktober depan 
sebelum pulang ke China pada 10 Oktober kelak.

                    (Source : Utusan Malaysia)

No comments:

Post a Comment